Friday 9 December 2011

Panduan Menjawab Karangan (4)


KELEMAHAN KARANGAN

  1. Kesalahan Memilih Tajuk
      Kesalahan memilih tajuk biasanya berlaku kerana calon tidak   memahami apa yang dikehendaki oleh soalan dan ditambah lagi keinginan menyudahkan sesebuah karangan secepat mungkin. Sesetengah calon tidak memahami jenis karangan tetapi oleh sebab tiada pilihan lain, mereka menulis karangan asalkan siap sahaja.

  1. Kekurangan Isi
      Oleh sebab kekurangan isi, tetapi mahukan panjang karangan melebihi 80 patah perkataan, menyebabkan penghuraian isi secara meleret-leret. Terdapat calon menulis secara mendatar dan luaran sahaja. Hal ini berlaku kerana terhadnya pembacaan calon.

  1. Pembahagian Perenggan
      Sepatutnya setiap isi ditulis dalam sebuah perenggan tetapi terdapat calon meletakkan beberapa isi dalam sebuah perenggan. Hal ini menyebabkan sesuatu isi tidak dapat dihuraikan secara mendalam. Kesannya, pemeriksa tidak dapat memberi markah penuh.

  1. Tidak Merangka Karangan
      Tidak merangka karangan bermakna calon tidak menyusun isi yang perlu ditulis terlebih dahulu. Hal ini menyebabkan karangan tidak jelas dan bercelaru. Malah, yang membahayakan, terdapat sesetengah calon mengharapkan isi datang ketika  mengarang. Kesannya, terdapat calon menulis semula karangan, lalu masa tidak mencukupi. Terdapat kes, calon hanya menghantar peta minda, bukan karangan, menyebabkan tidak menerima sebarang markah.

  1. Kesalahan Tatabahasa
      Calon perlu tahu, penguasaan tatabahasa terkini dengan merujuk buku Tatabahasa Dewan dan Kamus Dewan edisi terbaru. Terdapat calon masih tidak dapat membezakan  “bila” dengan “apabila”, “dari” dengan “daripada”, “di” dengan “pada”, dan pelbagai lagi.

No comments:

Post a Comment