Sunday 11 December 2011

Contoh Surat Kiriman Tidak Rasmi

Kamu baru sahaja menerima surat daripada rakan lama kamu yang btelah berpindah sekolah. Rakan kamu itu ingin mengetahui persiapan kamu menghadapi UPSR. Balas surat tersebut.

Surat kepada Rakan Lama


                                                          PT15376, Jalan Ara,
                                                 Kampung Mak Chili,
                                                 24000 Kemaman,
                                                 Terengganu.
                                                 8 Disember 2011.

Menemui Sabri yang berada di Mentakab, Pahang. Ketika saya menulis surat ini, saya sekeluarga dalam keadaan sihat. Diharapkan Sabri sekeluarga lebih-lebih lagi. Saya mengucapkan terima kasih atas kesudian saudara menulis surat kepada kepada saya. Saya meminta maaf atas kelewatan saya membalas surat saudara itu. Kini saya mempunyai kelapangan, lalu saya tidak tertangguh-tertangguh lagi untuk membalas surat saudara.

Sabri yang diingati,
      Saya seperti juga saudara, akan mengisi masa terluang pada waktu petang dan malam dengan mengulang kaji pelajaran. Selepas selesai menyiapkan kerja sekolah, saya segera membaca nota pelajaran. Cara ini dapat meningkatkan kemahiran saya dalam sesuatu topik yang guru ajar.

      Dalam seminggu, saya akan mengikuti kelas tuisyen tidak jauh dari rumah. Saya mengikuti kelas itu untuk membantu saya agar benar-benar menguasai apa yang guru ajar di kelas. Maklumkan, di pusat tuisyen muridnya hanya 15 orang sahaja, berbanding di kelas seramai 40 orang.

Sabri yang dihormati,
      Saya juga membuat latihan berdasarkan buku-buku latihan yang ayah saya beli. Kata ayah yang sering beri jalan kepada saya, sekiranya banyak membuat latihan, kita akan mudah menjawab soalan yang guru berikan. Saya akui kata-kata ayah itu betul kerana rata-rata saya mendapat 90 peratus dalam setiap peperiksaan yang saya tempuhi.

      Sekianlah sahaja surat saya untuk kali ini. Sekiranya saudara ada kelapangan, tulislah surat kepada saya, ataupun e-mel ke alamat denial@yahoo.com.my. Sebelum berpisah, terimalah serangkap pantun yang berbunyi,
     
      Usaha gigih penentu kejayaan,
          Mengharapkan kejayaan yang cemerlang,
      Balaslah surat ada kelapangan,
          Persahabatan teguh tidak akan hilang.

Sekian, terima kasih.

                                                Sahabatmu,                                                                           denial
                                                (Denial Idham)

Surat Kiriman Tidak Rasmi


     SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI

1.       Karangan ini jenis berformat.

2.     Ada beberapa jenis surat tidak rasmi, contohnya,
a)   Surat bertanya khabar
b)   Surat tahniah
c)     Surat takziah

3.   Walaupun surat ini tidak berbentuk rasmi, tetapi penggunaan bahasa perlu baku dengan mematuhi hukum tatabahasa.

4. Gunakan bahasa yang mudah., tepat, dan padat, yang sesuai kepada sasaran penerima.

5. Gunakan panggilan yang sesuai seperti kakanda/adinda, ibunda/bonda, ayahanda, nenda, dan cucunda.

6.    Format surat kiriman tidak rasmi adalah seperti berikut:
a)   Alamat pengirim ditulis sepenuhnya di sudut atas sebelah kanan surat.
b)   Tarikh ditulis di bawah alamat pengirim dan bubuh tanda titik (.) dihujungnya.
c)     Pembuka kata selepas selang satu baris kosong.
d)   Kata ganti diri penerima ditulis di sebelah kiri tepi surat (tidak perlu ke dalam sedikit).
e)    Perenggan isi dimulakan ke dalam sedikit.
f)      Penutup dimulakan ke dalam sedikit, sejajar dengan perenggan isi.
g)   Pengakuan pengirim ditulis di sebelah kanan surat selepas dua atau tiga baris kosong dari penutup dan diakhiri tanda koma (,). Huruf pertama pada kata pertama mestilah huruf besar.
h)   Tandatangan ditulis di bawah pengakuan pengirim.
i)       Nama pengirim boleh ditulis atau tidak

7.  Kelemahan calon ialah menulis menyalahi format yang ditetapkan. Sesetengahnya mencampuradukkan dengan format surat kiriman rasmi. Terdapat calon menggunakan bahasa basahan dan tidak menggunakan kata penghadap (panggilan hormat yang betul), contohnya menggunakan panggilan “ayah” sedangkan sepatutnya “ayahanda”.

Saturday 10 December 2011

Contoh Karangan (4)

Karangan Jenis Fakta

Tulis sebuah karangan yang bertajuk  “Faedah-faedah Mengikuti Kelas Tuisyen”.


Faedah-faedah Mengikuti Kelas Tuisyen

Murid-murid di kawasan bandar biasanya akan mengikuti kelas tuisyen. Tuisyen merupakan kelas tambahan yang dijalankan di ruang kedai yang dijadikan kelas. Kelas tuisyen ini mengenakan bayaran tertentu mengikut jumlah mata pelajaran yang diikuti.
      Mengikuti kelas tuisyen menambahkan pemahaman kita terhadap topik yang guru ajar. Sebagai contoh, kita semakin faham topik mata pelajaran Sains kerana guru tuisyen memberi lebih banyak latih tubi. Kesannya, kita akan memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan kelak.
      Selain itu, kita dapat menggunakan masa lapang dengan aktiviti berfaedah. Sebagai contoh, sekiranya kita tidak mengikuti kelas tuisyen, kemungkinan kita bercampur rakan sebaya yang suka melakukan perbuatan tidak sihat. Kesannya, kita boleh terjebak dalam kegiatan yang negatif seperti mencuri.
      Mengikuti kelas tusyen juga menambahkan keyakinan kita untuk menghadapi peperiksaan. Sebagai contoh, oleh sebab rakan-rakan bersemangat untuk mendapatkan 5A dalam UPSR, kita pun mahu mendapat kejayaan yang cemerlang. Kesannya, kita semakin bersemangat untuk belajar.
      Seterusnya, kita boleh bertukar-tukar soalan dengan rakan dari sekolah yang berlainan. Sebagai contoh, kita boleh mendapatkan soalan Peperiksaan Percubaan UPSR. Kesannya, prestasi pelajaran kita akan terus meningkat.
      Kesimpulannya, kelas tuisyen merupakan kelas yang wajar diikuti bagi mereka yang berkemampuan. Jika kita mahu memiliki otak cair, janganlah teragak-agak untuk mengikuti kelas tuisyen. Namun, pilihlah pusat tuisyen yang berkualiti.

Karangan Jenis Fakta


Karangan Jenis Fakta

  1. Karangan jenis ini meminta calon memberikan pendapat, saranan, dan penghujahan terhadap sesuatu tajuk.

  1. Sebelum menulis, calon perlu pasti akan kehendak soalan.

  1. Setiap perenggan perlu isi yang berlainan dan calon perlu menghuraikan isi terlebih dahulu, barulah huraian yang berbentuk contoh dan kesan.

  1. Gunakan bahasa yang tepat dan elakkan menggunakan bahasa yang berbunga-bunga seperti karangan berbentuk cerita.

  1. Digalakkan meletakkan kata-kata hikmat dan peribahasa.

Contoh Karangan (3)

Karangan Jenis Diari

Kamu telah memasuki satu pertandingan bercerita. Tulis catatan sepanjang kamu menyertai pertadingan tersebut.


Isnin, 17 Mac 2011.

8.15 pagi – Saya sudah tiba di perkarangan Sekolah Kebangsaan Chukai. Saya mengikuti Cikgu Ramlah masuk ke dewan besar. Semakin dekat melangkah, perasaan bimbang dan takut menguasai perasaan saya.

9.18 pagi – Setelah mendapat giliran nombor 12, saya duduk di bangku peserta. Ucapan daripada penganjur dan pembacaan syarat-syarat  pertandingan telah diumumkan. Kini giliran peserta kedua menyampaikan cerita.

10.25 pagi – Saya melangkah dengan penuh berhati-hati ke pentas. Saya memerhatikan murid-murid yang memenuhi dewan sekitar 150 orang. Setelah membaca surah-surah suci di dalam hati, saya mula bercerita.

10.34 pagi – Habis sahaja saya bercerita, saya melangkah ke arah Cikgu Ramlah. Guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu itu memeluk saya. Beliau mengucapkan rasa bangga kerana saya petah bercerita seperti bertih digoreng.

11.30 pagi – Seramai 36 orang peserta telah menyampaikan cerita yang bertemakan Sayangi Alam Sekitar. Bagi saya, rata-rata peserta dapat mengungkapkan cerita dengan baik. Saya tidak tahu kedudukan saya, sama ada mendapat hadiah utama atau tidak.

11.45 pagi – Nama pemenang ketiga dan kedua sudah diumumkan. Saya menunduk, berdoa di dalam hati semoga juruacara mengumumkan nama saya sebagai pemenang pertama. Alangklah gembiranya apabila saya diumumkan sebagai juara.

Karangan Jenis Diari


Karangan Jenis Diari

  1. Karangan ini juga dikenali sebagai catatan.

  1. Karangan ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu, diari sehari dan diari beberapa hari.

  1. Jika diari sehari, nyatakan hari, hari bulan, dan tahun. Kemudian diikuti waktu berlakunya sesuatu kejadian itu.

  1. Jika diari beberapa hari, nyatakan hari, hari bulan, dan tahun. Waktu disertakan jjka perlu sahaja.

  1. Peristiwa yang dicatat mesti penting dan berkaitan dengan tajuk.

  1. Urutan peristiwa, seperti juga karangan cerita, boleh menimbulkan daya tarikan untuk mengetahui peristiwa selanjutnya.

Friday 9 December 2011

Contoh Karangan (2)

Karangan Jenis Menyudahkan Cerita

Tulis sebuah karangan yang bermula dengan petikan berikut:
Ayah dan ibu tiada di rumah. Saya ke dapur untuk minum air. Tiba-tiba hidung saya terbau sesuatu. Tanpa berlengah saya……
Mulakan karangan kamu dengan “Tanpa berlengah saya……”


Tanpa berlengah saya mencari punca datangnya bau tersebut. Bau itu seperti ada sesuatu yang dimasak dalam tempoh yang lama. Saya segera ke dapur untuk mengelakkan tragedi buruk daripada berlaku.
      Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati cerek untuk menjerang air sudah terbakar. Saya perlu bertindak cepat sebelum cerek yang terbakar tidak menjalar ke seluruh dapur. Otak yang berputar ligat dan jantung saya berdegup kencang.
      Saya segera menunduk, mematikan gas dan mencabut wayar yang menyambung gas tersebut. Kemudian saya keluar rumah mencari pasir tetapi tiada. Baldi di tepi tangga saya capai dan isi dengan air.
      Pengetahuan sains saya perlu gunakan dalam saat yang genting seperti ini. Saya masukkan serbuk sabun ke dalam baldi yang hampir dipenuhi air. Kemudian, saya menyiram cerek tersebut.  
      Syukur saya kepada Tuhan kerana cerek yang terbakar dapat dipadamkan. Tekak yang mulanya dahaga kini sudah kenyang. Ketika itu saya mendengar ayah dan ibu meluru masuk.
      “Tidak tahu siapa yang menjerang air tadi, sehingga lupa untuk tutup. Nasib baik dapat dipadamkan,” jelas saya seperti bertih digoreng sebelum ayah dan ibu bertanya. Mereka menarik nafas lega kerana tiada perkara buruk yang berlaku.

Contoh Karangan (1)

Kamu bersendirian di sekolah menanti kedatangan ayah kamu. Ketika itu hujan turun dengan lebat. Tulis tindakan yang kamu lakukan sehingga ayah kamu tiba.

Menanti Kedatangan Ayah

Jam sudah melewati pukul 6.00 petang, tetapi ayah belum datang menjemputku. Rakan-rakan yang mengikuti aktiviti kokurikulum sudah pulang. Guru-guru yang mungkin tidak menyedari aku masih di sekolah, juga sudah pulang.
            Hujan yang tadinya renyai kini semakin lebat. Petir sabung-menyabung. Rasa bimbang menyelubungi hatiku lalu aku masuk ke Kelas 3 Amanah yang pintunya terbuka.
            Aku dapat melihat bumbung kantin ditiup angin. Sebatang pokok tidak jauh dari perkarangan sekolah telah rebah, lalu menghempap astaka. Aku memanjatkan doa kepada Allah semoga tiada perkara buruk berlaku terhadap diriku dan sekolah yang kusayangi ini.
            “Ayah, cepatlah datang. Alang tidak sanggup bersendirian dalam keadaan berbahaya seperti ini,” bisik hatiku. Namun dalam hati aku berharap tiada apa-apa kecelakaan yang menimpa orang tuaku dalam hujan lebat seperti ini.
            Dari celah pintu, aku dapat melihat sebuah kereta Proton Waja masuk ke perkarangan sekolah. Kereta tidak dapat meneruskan perjalanan kerana dihalang oleh pokok besar yang tumbang. Setelah pasti kereta tersebut kepunyaan ayahku, aku bergegas keluar.
            Dalam samar muka, aku bergegas ke arah kereta ayah. Aku berhati-hati melalui jalan yang berair untuk mengelakkan diri daripada terjatuh. Aku segera masuk ke kereta dan kemudian kereta berundur sebelum meninggalkan perkarangan sekolah.   

Karangan Jenis Menyudahkan Cerita

      Karangan Jenis Menyudahkan Cerita

  1. Karangan ini terbahagi kepada dua bentuk ;
a)     Petikan pada awal cerita
b)     Petikan pada akhir cerita

  1. Ciri-ciri karangan jenis ini tiada bezanya dengan karangan jenis cerita, cuma permulaan atau pengakhirannya sudah dipandu dengan petikan.

  1. Setiap cerita perlu mempunyai watak, latar (masa, tempat, dan waktu), tema/persoalan, plot, dan mesej.

  1. Urutan cerita sebaik-baiknya mempunyai perasaan ingin tahu di hati pembaca (pemeriksa) dengan mewujudkan unsur saspens.

  1. Susunan plot dimulai dengan pengenalan, perkembangan, klimaks, dan peleraian.

  1. Seboleh-bolehnya calon mampu mewujudkan rasa kesal, kecewa, marah atau geram untuk memikat pemeriksa.

  1. Cerita berdasarkan pengalaman, pembacaan, penglihatan, atau perbualan, asal sahaja logik.

  1. Calon digalakkan menggunakan bahasa yang berbunga-bunga, tetapi perlu dalam keadaan terkawal.

  1. Watak tidak semestinya manusia; boleh benda atau binatang.

  1. Letakkan dialog untuk menunjukkan kemahiran berbahasa, tetapi dialog yang penting sahaja.

karangan Jenis Cerita

KARANGAN JENIS CERITA

1.   Karangan ini terbahagi kepada empat bentuk, iaitu cereka, pengalaman,   suasana atau gambaran, dan penyelesaian masalah.

2. Setiap cerita perlu mempunyai watak, latar (masa, tempat, dan waktu), tema/persoalan, plot, dan mesej.

3. Urutan cerita sebaik-baiknya mempunyai perasaan ingin tahu di hati pembaca (pemeriksa) dengan mewujudkan unsur saspens. 

4. Susunan plot dimulai dengan pengenalan, perkembangan, kimaks, dan peleraian. 

5.    Seboleh-bolehnya calon mampu mewujudkan rasa kesal, kecewa, marah, atau geram untuk memikat pemeriksa.

6. Cerita berdasarkan pengalaman, pembacaan, penglihatan, atau     perbualan, asal sahaja logik.

7. Calon digalakkan menggunakan bahasa yang berbunga-bunga, tetapi perlu dalam keadaan terkawal. 

8.    Watak tidak semestinya manusia; boleh benda atau binatang.

9.  Letakkan dialog untuk menunjukkan kemahiran berbahasa, tetapi dialog yang penting sahaja.

Panduan Menjawab Karangan (4)


KELEMAHAN KARANGAN

  1. Kesalahan Memilih Tajuk
      Kesalahan memilih tajuk biasanya berlaku kerana calon tidak   memahami apa yang dikehendaki oleh soalan dan ditambah lagi keinginan menyudahkan sesebuah karangan secepat mungkin. Sesetengah calon tidak memahami jenis karangan tetapi oleh sebab tiada pilihan lain, mereka menulis karangan asalkan siap sahaja.

  1. Kekurangan Isi
      Oleh sebab kekurangan isi, tetapi mahukan panjang karangan melebihi 80 patah perkataan, menyebabkan penghuraian isi secara meleret-leret. Terdapat calon menulis secara mendatar dan luaran sahaja. Hal ini berlaku kerana terhadnya pembacaan calon.

  1. Pembahagian Perenggan
      Sepatutnya setiap isi ditulis dalam sebuah perenggan tetapi terdapat calon meletakkan beberapa isi dalam sebuah perenggan. Hal ini menyebabkan sesuatu isi tidak dapat dihuraikan secara mendalam. Kesannya, pemeriksa tidak dapat memberi markah penuh.

  1. Tidak Merangka Karangan
      Tidak merangka karangan bermakna calon tidak menyusun isi yang perlu ditulis terlebih dahulu. Hal ini menyebabkan karangan tidak jelas dan bercelaru. Malah, yang membahayakan, terdapat sesetengah calon mengharapkan isi datang ketika  mengarang. Kesannya, terdapat calon menulis semula karangan, lalu masa tidak mencukupi. Terdapat kes, calon hanya menghantar peta minda, bukan karangan, menyebabkan tidak menerima sebarang markah.

  1. Kesalahan Tatabahasa
      Calon perlu tahu, penguasaan tatabahasa terkini dengan merujuk buku Tatabahasa Dewan dan Kamus Dewan edisi terbaru. Terdapat calon masih tidak dapat membezakan  “bila” dengan “apabila”, “dari” dengan “daripada”, “di” dengan “pada”, dan pelbagai lagi.

Panduan Menjawab Karangan (3)


PANDUAN SEWAKTU MENULIS

  1. Pendahuluan
      Calon perlu mendekati pembaca (pemeriksa)  hanya memadai  dengan menyertakan tiga ayat dan ditulis dalam satu perenggan. Calon boleh menerangkan tajuk, menggunakan ayat tanya, atau kaitan dengan isu semasa.

  1. Idea (Isi)
      Setiap karangan memerlukan empat atau lima idea. Setiap idea perlu ditulis di perenggan yang berlainan. Idea yang lengkap bermakna  calon perlu mengemukakan isi dahulu, barulah huraian. Huraian ini merangkumi contoh, kesan, dan ayat yang memperteguh isi yang dinyatakan (bagi karangan berunsur fakta). Manakala teknik cerita, ayat     berikutnya ialah perkembangan lanjut terhadap isi (tindakan) yang dilakukan.

  1. Penutup
      Bahagian ini ditulis dalam sebuah perenggan dan memadai tiga ayat. Penutup perlu membina rasa puas hati kepada pemeriksa dengan memberi kesimpulan atau rumusan. Boleh menyertakan peribahasa, kata-kata hikmat, dan pantun, mengikut sesuatu jenis karangan.

  1. Pemerengganan Idea
      Setiap perenggan mempunyai isi, contoh, atau kesan dan ditulis dalam tiga ayat. Perenggan itu mesti berkesinambungan dengan perenggan yang sebelumnya. Keseluruhan sebuah karangan perlu mempunyai enam perenggan jika empat isi dan tujuh perenggan jika lima isi.

  1. Gaya Bahasa
      Gaya bahasa berkaitan dengan persembahan, pengolahan sesebuah ayat dan jenis karangan. Bagi karangan berunsur cerita, gaya   bahasanya lebih berbunga-bunga, tetapi karangan berunsur fakta, gunakan gaya bahasa yang tepat dan padat. Elakkan menggunakan   perkataan Inggeris, kecuali perkataan tersebut tiada dalam bahasa           Malaysia. Seelok-elokya calon menggunakan perkataan baru yang sudah diterima umum. Elakkan menggunakan ayat-ayat yang panjang dan berbelit-belit. Untuk memberi kelebihan dan memikat hati pemeriksa, digalakkan menyertakan peribahasa dan kata-kata hikmat.

  1. Kepanjangan Karangan
      Arahan soalan yang mencatatkan kepanjangan karangan tidak kurang daripada 80 patah perkataan membawa maksud karangan boleh sehingga 150 patah perkataan , asal sahaja tahu membahagikan masa.

Panduan Menjawab Karangan (2)


     PERSEDIAAN SEBELUM MENULIS KARANGAN

1.    Persediaan Awal
     Calon perlu memahami semua jenis karangan. Selain mengetahui format, calon juga perlu membiasakan diri membuat latihan tajuk-tajuk yang disediakan. Calon perlu kerap membuat sebuah karangan dengan memperuktukan masa tidak melebihi 40 minit. Karangan yang sudah siap  ditulis, hendaklah dihantar kepada guru untuk tujuan pemeriksaan.

2.    Memilih Tajuk
     Baca semua soalan dan apa yang dikehendaki oleh tajuk. Pilih tajuk yang benar-benar dikuasai daripada tiga tajuk yang diberi. Elakkan memikirkan tajuk yang ditulis akan menjadi pilihan ramai calon lain. Mutu karangan bukan ditentukan popular atau tidak sesuatu tajuk.
    
3.    Merangka Karangan
     Calon perlu merangka pendahuluan, idea, dan penutup dalam lima minit pertama. Elakkan menyertakan isi yang kabur dan kurang jelas. Sewaktu menulis, utamakan isi yang penting   dahulu.

4.    Peruntukan Masa
     Dicadangkan masa yang perlu diperuntukkan bagi karangan Bahagian B ialah 40 minit. Jangan terlalu banyak masa dihabiskan untuk satu-satu jenis karangan. Jika ada kelebihan masa, baru kembali kepada karangan pertama. Jika ada kelebihan masa, gunakan untuk menyemak ejaan, tanda bacaan, dan struktur ayat.

Panduan Menjawab Karangan

CIRI-CIRI KARANGAN YANG BAIK

1.    Penyataan Idea
     Setiap ayat dan setiap perenggan perlu ada kaitan.
     Sebagai contoh, ayat pertama dalam sesebuah perenggan,       perlu      dilengkapkan dalam ayat kedua dan ketiga, ayat kedua      dan ketiga       menghuraikan dengan lebih lanjut beserta       contoh.  Begitu juga     setiap perenggan ada kaitan dengan   penanda wacana yang sesuai        seperti “selanjutnya”, “namun demikian”, dan sebagainya.

2.    Ketepatan
     Sebelum menulis karangan, sekitar tiga minit hingga lima minit perlu      diperuntukkan untuk memahami tajuk.     Fakta-fakta          jangan terkeluar daripada tajuk. Karangan        yang baik   biasanya menjawab apa yang         ditanya,      manakala   karangan yang lemah menulis apa sahaja tanpa        memikirkan      kehendak soalan.

3.    Lengkap
     Karangan perlu lengkap; mempunyai pendahuluan, empat          atau lima    isi, dan penutup. Tanpa ciri-ciri tersebut, calon        sukar mendapat A.

Thursday 8 December 2011

Tip Menulis karangan


TIP MENULIS KARANGAN

  1. Dalam Bahagian B terdapat tiga tajuk karangan. Calon hanya perlu menjawab satu soalan sahaja. Karangan bahagian ini membawa 30 markah. Masa yang dicadangkan selama 40 minit.

  1. Karangan terbahagi kepada dua jenis, iaitu karangan berformat dan tidak berformat. Dalam peperiksaan, kesalahan format akan ditolak 2 markah.

  1. Setiap karangan sekurang-kurangnya mempunyai tiga idea atau isi. Sebagai jalan selamat beri empat isi.

  1. Setiap idea dalam satu perenggan. Setiap perenggan mengandungi tiga ayat. Keseluruhannya mengandungi enam perenggan, iaitu pendahuluan, empat idea, dan penutup.

  1. Bagi karangan memberi pendapat, gunakan teknik ‘I.C.K”, iaitu isi, contoh, kesan.

  1. Gunakan perbendaharaan kata yang terkini. Sebaik-baiknya, dalam setiap karangan mengandungi sekurang-kurangnya satu kesimpulan bahasa ataupun perumpamaan.

  1. Gunakan tulisan yang kemas. Cikgu tidak suka tulisan yang terlalu kecil dan tidak jelas.