Tuesday 8 November 2011

Dasar MBMMBI akan dilaksanakan pada 2011

Dasar MBMMBI akan dilaksanakan pada 2011

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMBI) akan mula dilaksana pada 2011, setahun lebih awal daripada yang dijadual.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pelaksanaan MBMBI bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sepatutnya dijadual pada 2012.
“Kita perlu berikan perhatian dalam usaha kita memartabatkan sistem pendidikan di negara kita ini iaitu bermula pada tahun 2011, kita akan mula melaksanakan dasar baru menggantikan PPSMI.
“Kami telah berbincang di peringkat kementerian, dan mendapati kami mampu untuk menyegerakan setahun lebih awal mempelajari Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia dan tidak lagi dalam Bahasa Inggeris, walaupun jadual asalnya ialah pada 2012,” katanya.

Berucap pada majlis jamuan malam bersama guru cemerlang sempena Persidangan Kebangsaan Guru-guru ke-7 di sini Selasa, Muhyiddin berkata bagi mencapai sasaran itu, komitmen seluruh tenaga pengajar, guru, pengetua, guru besar serta Kementerian Pelajaran amat diperlukan kerana ia bukan satu perkara atau tanggungjawab yang remeh.

Muhyiddin berkata semasa keputusan memansuhkan PPSMI dahulu, kementerian serta kerajaan telah mengambil kira langkah terbaru ini adalah yang terbaik bukan setakat untuk meningkatkan martabat pendidikan tetapi juga meningkatkan kualiti pendidikan.

“Oleh itu, komitmen amat diperlukan kerana ini adalah satu beban yang tidak boleh kita pandang remeh dan memerlukan komitmen yang total daripada guru-guru serta tenaga pengajar,” katanya.
Muhyiddin berkata walaupun PPSMI dimansuh, penguasaan Bahasa Inggeris oleh pelajar masih dititik beratkan.

“Pastinya semua pihak bersetuju tentang pentingnya kita menguasai Bahasa Inggeris.
“Sewajarnya, anak-anak kita dalam tempoh 13 tahun mahir atau lebih daripada mahir untuk menguasai Bahasa Inggeris dan tidak patut menjadi satu perkara yang diperbincangkan seolah-olah tahap penguasaan Bahasa Inggeris masih sederhana atau rendah sedangkan ia telah diperkenalkan sekian lama,” katanya.
Muhyiddin berkata menerusi dasar MBMBI, khidmat tenaga pengajar atau pakar dari luar negara akan diguna sebagai ‘master teacher’ sementara menunggu tenaga pengajar terlatih tempatan.

“Dalam MBMBI, kita sudah pun menyediakan kurikulum yang lebih baik dengan buku teks yang lebih sesuai, menyediakan makmal Bahasa Inggeris yang lebih lengkap, software (perisian) yang terbaik serta penggunaan tenaga pengajar yang berupaya mengajar Bahasa Inggeris dengan baik.

“Sementara kita belum mepunyai guru-guru atau pakar yang terlatih, mahu tidak mahu kita terpaksa mengisi kekosongan itu dengan tenaga dari luar negara sebagai ‘master teacher’, untuk bantu supaya proses pengajaran Bahasa Inggeris dapat dilaksana dengan cara berkesan,” katanya.

– BERNAMA