Sunday 11 December 2011

Contoh Surat Kiriman Tidak Rasmi

Kamu baru sahaja menerima surat daripada rakan lama kamu yang btelah berpindah sekolah. Rakan kamu itu ingin mengetahui persiapan kamu menghadapi UPSR. Balas surat tersebut.

Surat kepada Rakan Lama


                                                          PT15376, Jalan Ara,
                                                 Kampung Mak Chili,
                                                 24000 Kemaman,
                                                 Terengganu.
                                                 8 Disember 2011.

Menemui Sabri yang berada di Mentakab, Pahang. Ketika saya menulis surat ini, saya sekeluarga dalam keadaan sihat. Diharapkan Sabri sekeluarga lebih-lebih lagi. Saya mengucapkan terima kasih atas kesudian saudara menulis surat kepada kepada saya. Saya meminta maaf atas kelewatan saya membalas surat saudara itu. Kini saya mempunyai kelapangan, lalu saya tidak tertangguh-tertangguh lagi untuk membalas surat saudara.

Sabri yang diingati,
      Saya seperti juga saudara, akan mengisi masa terluang pada waktu petang dan malam dengan mengulang kaji pelajaran. Selepas selesai menyiapkan kerja sekolah, saya segera membaca nota pelajaran. Cara ini dapat meningkatkan kemahiran saya dalam sesuatu topik yang guru ajar.

      Dalam seminggu, saya akan mengikuti kelas tuisyen tidak jauh dari rumah. Saya mengikuti kelas itu untuk membantu saya agar benar-benar menguasai apa yang guru ajar di kelas. Maklumkan, di pusat tuisyen muridnya hanya 15 orang sahaja, berbanding di kelas seramai 40 orang.

Sabri yang dihormati,
      Saya juga membuat latihan berdasarkan buku-buku latihan yang ayah saya beli. Kata ayah yang sering beri jalan kepada saya, sekiranya banyak membuat latihan, kita akan mudah menjawab soalan yang guru berikan. Saya akui kata-kata ayah itu betul kerana rata-rata saya mendapat 90 peratus dalam setiap peperiksaan yang saya tempuhi.

      Sekianlah sahaja surat saya untuk kali ini. Sekiranya saudara ada kelapangan, tulislah surat kepada saya, ataupun e-mel ke alamat denial@yahoo.com.my. Sebelum berpisah, terimalah serangkap pantun yang berbunyi,
     
      Usaha gigih penentu kejayaan,
          Mengharapkan kejayaan yang cemerlang,
      Balaslah surat ada kelapangan,
          Persahabatan teguh tidak akan hilang.

Sekian, terima kasih.

                                                Sahabatmu,                                                                           denial
                                                (Denial Idham)

Surat Kiriman Tidak Rasmi


     SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI

1.       Karangan ini jenis berformat.

2.     Ada beberapa jenis surat tidak rasmi, contohnya,
a)   Surat bertanya khabar
b)   Surat tahniah
c)     Surat takziah

3.   Walaupun surat ini tidak berbentuk rasmi, tetapi penggunaan bahasa perlu baku dengan mematuhi hukum tatabahasa.

4. Gunakan bahasa yang mudah., tepat, dan padat, yang sesuai kepada sasaran penerima.

5. Gunakan panggilan yang sesuai seperti kakanda/adinda, ibunda/bonda, ayahanda, nenda, dan cucunda.

6.    Format surat kiriman tidak rasmi adalah seperti berikut:
a)   Alamat pengirim ditulis sepenuhnya di sudut atas sebelah kanan surat.
b)   Tarikh ditulis di bawah alamat pengirim dan bubuh tanda titik (.) dihujungnya.
c)     Pembuka kata selepas selang satu baris kosong.
d)   Kata ganti diri penerima ditulis di sebelah kiri tepi surat (tidak perlu ke dalam sedikit).
e)    Perenggan isi dimulakan ke dalam sedikit.
f)      Penutup dimulakan ke dalam sedikit, sejajar dengan perenggan isi.
g)   Pengakuan pengirim ditulis di sebelah kanan surat selepas dua atau tiga baris kosong dari penutup dan diakhiri tanda koma (,). Huruf pertama pada kata pertama mestilah huruf besar.
h)   Tandatangan ditulis di bawah pengakuan pengirim.
i)       Nama pengirim boleh ditulis atau tidak

7.  Kelemahan calon ialah menulis menyalahi format yang ditetapkan. Sesetengahnya mencampuradukkan dengan format surat kiriman rasmi. Terdapat calon menggunakan bahasa basahan dan tidak menggunakan kata penghadap (panggilan hormat yang betul), contohnya menggunakan panggilan “ayah” sedangkan sepatutnya “ayahanda”.

Saturday 10 December 2011

Contoh Karangan (4)

Karangan Jenis Fakta

Tulis sebuah karangan yang bertajuk  “Faedah-faedah Mengikuti Kelas Tuisyen”.


Faedah-faedah Mengikuti Kelas Tuisyen

Murid-murid di kawasan bandar biasanya akan mengikuti kelas tuisyen. Tuisyen merupakan kelas tambahan yang dijalankan di ruang kedai yang dijadikan kelas. Kelas tuisyen ini mengenakan bayaran tertentu mengikut jumlah mata pelajaran yang diikuti.
      Mengikuti kelas tuisyen menambahkan pemahaman kita terhadap topik yang guru ajar. Sebagai contoh, kita semakin faham topik mata pelajaran Sains kerana guru tuisyen memberi lebih banyak latih tubi. Kesannya, kita akan memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan kelak.
      Selain itu, kita dapat menggunakan masa lapang dengan aktiviti berfaedah. Sebagai contoh, sekiranya kita tidak mengikuti kelas tuisyen, kemungkinan kita bercampur rakan sebaya yang suka melakukan perbuatan tidak sihat. Kesannya, kita boleh terjebak dalam kegiatan yang negatif seperti mencuri.
      Mengikuti kelas tusyen juga menambahkan keyakinan kita untuk menghadapi peperiksaan. Sebagai contoh, oleh sebab rakan-rakan bersemangat untuk mendapatkan 5A dalam UPSR, kita pun mahu mendapat kejayaan yang cemerlang. Kesannya, kita semakin bersemangat untuk belajar.
      Seterusnya, kita boleh bertukar-tukar soalan dengan rakan dari sekolah yang berlainan. Sebagai contoh, kita boleh mendapatkan soalan Peperiksaan Percubaan UPSR. Kesannya, prestasi pelajaran kita akan terus meningkat.
      Kesimpulannya, kelas tuisyen merupakan kelas yang wajar diikuti bagi mereka yang berkemampuan. Jika kita mahu memiliki otak cair, janganlah teragak-agak untuk mengikuti kelas tuisyen. Namun, pilihlah pusat tuisyen yang berkualiti.

Karangan Jenis Fakta


Karangan Jenis Fakta

  1. Karangan jenis ini meminta calon memberikan pendapat, saranan, dan penghujahan terhadap sesuatu tajuk.

  1. Sebelum menulis, calon perlu pasti akan kehendak soalan.

  1. Setiap perenggan perlu isi yang berlainan dan calon perlu menghuraikan isi terlebih dahulu, barulah huraian yang berbentuk contoh dan kesan.

  1. Gunakan bahasa yang tepat dan elakkan menggunakan bahasa yang berbunga-bunga seperti karangan berbentuk cerita.

  1. Digalakkan meletakkan kata-kata hikmat dan peribahasa.

Contoh Karangan (3)

Karangan Jenis Diari

Kamu telah memasuki satu pertandingan bercerita. Tulis catatan sepanjang kamu menyertai pertadingan tersebut.


Isnin, 17 Mac 2011.

8.15 pagi – Saya sudah tiba di perkarangan Sekolah Kebangsaan Chukai. Saya mengikuti Cikgu Ramlah masuk ke dewan besar. Semakin dekat melangkah, perasaan bimbang dan takut menguasai perasaan saya.

9.18 pagi – Setelah mendapat giliran nombor 12, saya duduk di bangku peserta. Ucapan daripada penganjur dan pembacaan syarat-syarat  pertandingan telah diumumkan. Kini giliran peserta kedua menyampaikan cerita.

10.25 pagi – Saya melangkah dengan penuh berhati-hati ke pentas. Saya memerhatikan murid-murid yang memenuhi dewan sekitar 150 orang. Setelah membaca surah-surah suci di dalam hati, saya mula bercerita.

10.34 pagi – Habis sahaja saya bercerita, saya melangkah ke arah Cikgu Ramlah. Guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu itu memeluk saya. Beliau mengucapkan rasa bangga kerana saya petah bercerita seperti bertih digoreng.

11.30 pagi – Seramai 36 orang peserta telah menyampaikan cerita yang bertemakan Sayangi Alam Sekitar. Bagi saya, rata-rata peserta dapat mengungkapkan cerita dengan baik. Saya tidak tahu kedudukan saya, sama ada mendapat hadiah utama atau tidak.

11.45 pagi – Nama pemenang ketiga dan kedua sudah diumumkan. Saya menunduk, berdoa di dalam hati semoga juruacara mengumumkan nama saya sebagai pemenang pertama. Alangklah gembiranya apabila saya diumumkan sebagai juara.

Karangan Jenis Diari


Karangan Jenis Diari

  1. Karangan ini juga dikenali sebagai catatan.

  1. Karangan ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu, diari sehari dan diari beberapa hari.

  1. Jika diari sehari, nyatakan hari, hari bulan, dan tahun. Kemudian diikuti waktu berlakunya sesuatu kejadian itu.

  1. Jika diari beberapa hari, nyatakan hari, hari bulan, dan tahun. Waktu disertakan jjka perlu sahaja.

  1. Peristiwa yang dicatat mesti penting dan berkaitan dengan tajuk.

  1. Urutan peristiwa, seperti juga karangan cerita, boleh menimbulkan daya tarikan untuk mengetahui peristiwa selanjutnya.

Friday 9 December 2011

Contoh Karangan (2)

Karangan Jenis Menyudahkan Cerita

Tulis sebuah karangan yang bermula dengan petikan berikut:
Ayah dan ibu tiada di rumah. Saya ke dapur untuk minum air. Tiba-tiba hidung saya terbau sesuatu. Tanpa berlengah saya……
Mulakan karangan kamu dengan “Tanpa berlengah saya……”


Tanpa berlengah saya mencari punca datangnya bau tersebut. Bau itu seperti ada sesuatu yang dimasak dalam tempoh yang lama. Saya segera ke dapur untuk mengelakkan tragedi buruk daripada berlaku.
      Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati cerek untuk menjerang air sudah terbakar. Saya perlu bertindak cepat sebelum cerek yang terbakar tidak menjalar ke seluruh dapur. Otak yang berputar ligat dan jantung saya berdegup kencang.
      Saya segera menunduk, mematikan gas dan mencabut wayar yang menyambung gas tersebut. Kemudian saya keluar rumah mencari pasir tetapi tiada. Baldi di tepi tangga saya capai dan isi dengan air.
      Pengetahuan sains saya perlu gunakan dalam saat yang genting seperti ini. Saya masukkan serbuk sabun ke dalam baldi yang hampir dipenuhi air. Kemudian, saya menyiram cerek tersebut.  
      Syukur saya kepada Tuhan kerana cerek yang terbakar dapat dipadamkan. Tekak yang mulanya dahaga kini sudah kenyang. Ketika itu saya mendengar ayah dan ibu meluru masuk.
      “Tidak tahu siapa yang menjerang air tadi, sehingga lupa untuk tutup. Nasib baik dapat dipadamkan,” jelas saya seperti bertih digoreng sebelum ayah dan ibu bertanya. Mereka menarik nafas lega kerana tiada perkara buruk yang berlaku.